23 April 2013

Nelydia Dan Qi Harap Jodoh Berpanjangan

Assalamualaikum...

Baru lepas baca kosmo, terbaca pulak tentang pasangan yg hangat di perkatakan sedang bercinta...Jom! baca kisahnya....
QI sudah bersedia untuk berkahwin, sementara Nelydia menyerahkan segala ketentuan dan jodoh kepada Allah.


KEMESRAAN yang ditampilkan oleh pelakon Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen dan Qushairi Mohammed Razali atau Qi Razali semasa menjayakan acara Liga Juara Hot FM baru-baru ini seperti mengesahkan kedua-duanya sedang dilamun cinta.
Sebelum ini gambar mesra pasangan tersebut yang dimuat naik ke dalam laman sosial Instagram masing-masing menjadi tatapan peminat sehingga ramai yang mengandaikan sudah terjalin ikatan cinta antara mereka berdua.
Ketika diminta mengulas tentang status hubungan mereka sekarang ini, Qi dan Nelydia menyatakan bahawa mereka kini masih belum menjalinkan hubungan percintaan, sebaliknya hanya rapat sebagai seorang teman.
Menurut Qi, sebelum ini dia atau Nelydia tidak pernah membuat kenyataan yang mereka kini sedang bercinta. Bagaimanapun, mereka juga tidak menyembunyikan hubungan yang sekarang ini semakin erat dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
"Sebelum ini kami tidak pernah membuat kenyataan tentang status hubungan kami. Ya, kami memang berkawan dan saya akui hubungan dengan Nelydia sekarang bertambah rapat. Saya boleh melabelkan hubungan kami kini berada dalam peringkat proses mengenali hati budi masing-masing," jelas Qi tanpa berselindung.
Qi bagaimanapun memberitahu dia tidak mempunyai jawapan apabila ada yang bertanya sudahkah dia melamar pelakon baharu tersebut sebagai kekasih. Sebaliknya, bekas pemain dram grup OAG ini berkata: "Saya tak pernah luahkan perasaan cinta kepadanya sehingga sekarang."
Diminta bercerita tentang detik awal perhubungan mereka, Qi memberitahu semuanya bermula apabila mereka sama-sama berlakon dalam drama Friday I'm In Love pada tahun lalu.
Ujarnya, selepas membintangi drama berkenaan, mereka mula menjalinkan hubungan sebagai teman biasa. Bagaimanapun, sejak empat bulan lalu, hubungan dia dengan Nelydia mula menjadi lebih rapat.
"Saya berasa cukup selesa sepanjang berkawan dengannya. Walaupun dia baru berusia 19 tahun, namun saya dapati Nelydia seorang gadis yang cukup matang dan berfikiran jauh. Dia juga seorang yang periang," ujarnya yang begitu menyenangi sikap Nelydia.
Ditanya tentang jarak usia mereka yang cukup berbeza iaitu sebanyak 16 tahun, Qi yang kini berusia 35 tahun memberitahu dia tidak mempunyai masalah dengan jurang perbezaan tersebut. Malah, katanya dalam nada serius, dia juga tidak menjadikan faktor usia sebagai halangan buat mereka menjalinkan hubungan dengan lebih rapat.
Terlanjur bercakap tentang jurang usia, Qi kemudian ditanya tentang perancangannya menamatkan zaman bujang kerana usianya yang sudah melewati angka 30-an.
Sambil tersenyum, pelakon yang cukup popular sebagai seorang pengacara itu memberitahu dia memang mempunyai hasrat untuk berkahwin memandangkan usianya yang bukan lagi muda.
QI dan Nelydia mengaku sudah mengenali keluarga masing-masing.


Ketika ditanya bila dia akan menamatkan zaman bujangnya memandangkan usia yang semakin bertambah, Qi menjelaskan perancangan untuk berkahwin memang ada, tetapi dia mahu mengenali Nelydia dengan lebih dalam lagi.
"Harus saya akui, sejujurnya, saya memang meletakkan harapan yang tinggi agar hubungan saya dan Nelydia menjadi lebih serius memandangkan kami juga sudah bertemu keluarga masing-masing. Bagaimanapun, itu semua terserah kepada jodoh," jelasnya.
Sementara itu, diminta mengulas tuduhan segelintir pihak yang menyatakan Nelydia menjadi punca kepada perpisahannya dengan Yuna sebelum ini, Qi menegaskan ia satu tuduhan yang tidak adil.
Tegas Qi: "Saya ingin jelaskan bahawa punca utama perpisahan saya dan Yuna adalah disebabkan jarak kami yang berjauhan. Ia tidak berkaitan langsung dengan Nelydia. Dia (Nelydia) bukan orang ketiga yang menyebabkan hubungan saya dan Yuna dahulu putus.
"Lagipun hubungan kami (Yuna) sudah tinggal sejarah dan rasanya tidak perlu lagi mengaitkan diri saya dan Yuna kerana masing-masing sudah mencari haluan hidup sendiri."
Tarik diri
Selain dikenali sebagai seorang pelakon, nama Qi turut menjadi sebutan ramai apabila dia menjadi pengacara sebuah program masakan iaitu Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) yang disiarkan di TV3.
Bagaimanapun, Qi yang menarik diri daripada mengacarakan rancangan tersebut telah kembali semula bagi menggantikan tempat Iqram Dinzly selaku pengacara untuk musim terbaharu program tersebut.
Sebelum ini, Qi pernah membuat kenyataan bahawa tidak mahu lagi terbabit dalam program tersebut sehingga TV3 terpaksa memilih Iqram sebagai pengganti.
Menjelaskan keadaan, Qi mengaku dia memang pernah membuat kenyataan demikian. Bagaimanapun, kata Qi, ia hanya bersifat sementara dan apabila pihak produksi memerlukan khidmatnya semula sebagai pengacara program tersebut, dia bersetuju memandangkan tidak terikat dengan komitmen lain.
"Saya memang ada menyatakan tidak mahu lagi mengacara JJCM, tetapi bukanlah buat selama-lamanya. Lagipun saya pernah memberitahu kepada pihak produksi yang saya sedia kembali sekiranya khidmat saya diperlukan semula.
"Dahulu saya ambil keputusan untuk menarik diri kerana jadual kerjaya saya yang sangat padat dan mempunyai komitmen lain yang perlu diuruskan. Kini, saya kembali semula kerana melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak produksi," ujarnya yang turut popular sebagai pengacara program Destinasi Bajet.
Jelas Qi, sebelum ini, sudah dua kali dia ditawarkan untuk kembali mengacara program JJCM, namun dia terpaksa mengambil masa yang cukup lama sebelum membuat keputusan bersetuju mengemudi semula program tersebut.
"Saya ambil keputusan dan bersetuju apabila mereka membuat tawaran kali ketiga, dengan syarat, saya diberi kelonggaran untuk melakukan pekerjaan yang lain," ujarnya yang mengikat kontrak selama dua musim bersama program berkenaan.
QI kembali mengacarakan program Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) dengan syarat dia diberi kelonggaran untuk terbabit dengan projek lain.


Fokus kerjaya
Mengalih bicara kepada Nelydia, dia yang hadir serentak bersama Qi pada majlis tersebut melontarkan bicara yang sama tentang hubungannya dengan lelaki itu.
Kata Nelydia, hubungannya dengan Qi belum sampai kepada tahap bercinta. Malah, dia sebenarnya berasa kurang selesa apabila ramai pihak yang sering memperkatakan hubungan cintanya dengan Qi.
"Saya tidak berani untuk mengulas sejauh mana hubungan dengan Qi kerana apa sahaja boleh berlaku. Walaupun saya tak berani untuk melabelkan bentuk hubungan kami, namun saya tidak mahu menyembunyikan fakta bahawa hubungan yang terjalin antara kami sekarang ini bertambah erat.
"Kalau boleh saya tidak mahu orang mengenali saya kerana kisah cinta kerana pada masa ini saya perlu lebih fokus kepada kerjaya lakonan yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang diterima," ujarnya penuh sopan.
Bagaimanapun, pelakon yang semakin dikenali semenjak membintangi drama Setia Hujung Nyawa itu mengakui dia juga kini sedang mengenali hati budi Qi sebelum mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan yang serius.
Malah, Nelydia yang ditanya tentang kesediaannya berkahwin awal memandangkan Qi mengaku dia berharap agar hubungan mereka mampu melangkah ke tahap tersebut memberitahu, dia menyerahkan segala ketentuan takdir kepada Allah SWT.
"Saya tidak mempunyai masalah untuk berkahwin awal kerana soal jodoh ini kerja Tuhan. Bagaimanapun, sejujurnya, buat masa ini, jika berfikir secara realistik, untuk usia saya yang baru mencecah 19 tahun, saya 100 peratus belum bersedia untuk menjadi seorang isteri," katanya tanpa berselindung.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya berhubung perpisahan Qi dan Yuna, pelakon itu enggan ambil kisah kerana sedar dia langsung tidak bersalah.
Ujarnya, dia menganggap segala tuduhan tersebut dibuat oleh segelintir peminat yang masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa hubungan Qi dan Yuna sudah berakhir.
Katanya: "Saya melihat isu ini sebagai perkara yang remeh dan saya tidak tertekan dengan tuduhan yang dilemparkan.
"Bagaimanapun, saya akui, perasaan saya akan terguris sekiranya ada mana-mana pihak yang mengeji dan mengutuk saya dengan cara yang melampau dan tidak beretika kerana saya juga memiliki perasaan."



Kredit: KOSMO


Psssttt!! Kalau dah jodoh tak kemanakan.... layan jerlah hihihi

13 comments:

  1. comel pelakon ni.. dua2 i minat.. sebab mcm gila2 sikit perangainya.. hehe

    ReplyDelete
  2. mmm ramai rupanya yg up entry psl depa arini... ;-)

    ReplyDelete
  3. sweet diorg ni.. klu ader jodoh x kmana hehe

    ReplyDelete
  4. owhh.. lya bru tau dia org bkasih rupanya

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum rose...kalau ada jodohnya apa salahkan...;)

    ReplyDelete
  6. moga jodoh berpanjangan insha Allah..

    ReplyDelete
  7. Kalau jodoh x kemana..
    Dua2 comel.. ;D

    ReplyDelete
  8. hope, diorang bersama & terus bhgian..

    ReplyDelete
  9. patutla dekat keek tu diorang selalu berdua...couple rupanya...

    ReplyDelete
  10. baru 19 ke. huhuhu. matured nye muke die.

    ReplyDelete
  11. kesian yuna.. haha.. apapun moga mereka bahagia..

    ReplyDelete

●▬▬▬▬▬▬▬▬ஜ۩۞۩ஜ▬▬▬▬▬▬▬▬●
• بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ •
terima kasih kerana korang Ikhlas Memberi Komen...Lambat Atau Cepat...Cik Rose Akan terjah blog Korang...
Semoga kita sama - sama ikhlas berkawan di alam maya Bersama mahabbah cintaNYA
●▬▬▬▬▬▬▬▬ஜ۩۞۩ஜ▬▬▬▬▬▬▬▬●
"⎝⓿⏝⓿⎠JAZAKUMULLAH"⎝⓿⏝⓿⎠