24 January 2014

Sakit dada bukan hal remeh

Jangan anggap ringan jika anda tiba-tiba diserang sakit dada kerana ada kemungkinan ia gejala kepada masalah lebih serius iaitu penyakit jantung koronari atau arteri koronari.
Sakit ini yang juga dipanggil angina pektoris dialami pada bahagian tengah atau sebelah kiri dada.
Mereka yang diserang sakit dada seperti ini akan terasa seolah-olah ada cengkaman kuat atau dicucuk benda tajam pada dada.
Pesakit juga mungkin terasa seperti dadanya ditekan dengan benda berat, menyebabkannya sesak sehingga sukar bernafas.
Kesakitan itu kemudian merebak pada leher, lengan, bahu dan bahagian belakang.
Mudah juga merasa pening, berpeluh, loya dan ingin muntah.
Pakar Kardiologi Intervensi dan Elektrofisiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Ernest Ng Wee Oon berkata, serangan angina pektoris berpunca daripada kekurangan aliran darah kepada otot jantung berikutan saluran darah sempit.

“Sakit dada yang dikaitkan dengan angina pektoris boleh dijelaskan seperti mengalami tekanan, cengkaman dan kesakitan yang amat sangat di bahagian tengah dada.
“Tahap dan tempoh serangan serta jenis sakit dada berbeza-beza.
Foto
PESAKIT perlu dirawat segera jika mengalami sakit dada yang serius.

Ini kerana serangan sakit dada boleh jadi jenis stabil akibat kita melakukan senaman, mengangkat beban berat atau batuk dengan kuat.
Biasanya sakit dada seperti ini akan hilang selepas berehat.

“Namun, sakit ini mungkin disebabkan kita menghidap penyakit jantung koronari jika kesakitan pada dada dirasai berulang-ulang dan berpanjangan walaupun dengan melakukan aktiviti ringan atau ketika rehat,” katanya.
Jika ketidakselesaan pada dada itu baru saja dialami, penting untuk kita berjumpa doktor bagi mengetahui puncanya dan mendapatkan rawatan sewajarnya.
Ini berikutan serangan angina pektoris disebabkan seseorang menghidap penyakit jantung koronari.
Penyebab utama sakit jantung koronari ialah pembentukan kolesterol dalam saluran darah jantung.

Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan biasa bermula sejak usia muda.

Jantung membabitkan otot dan empat injap.

Organ ini memerlukan bekalan oksigen mencukupi untuk berfungsi dengan baik.
Bekalan oksigen diperoleh dari saluran darah jantung yang juga dikenali sebagai arteri koronari.

Setiap individu mempunyai tiga saluran darah utama yang membekalkan otot jantung dengan oksigen dan zat makanan.
Seseorang boleh mendapat penyakit jantung koronari apabila satu atau lebih pembuluh darah ini menjadi sempit disebabkan pemendapan kolesterol dan pembentukan plak membabitkan kolesterol dan parut tisu.

“Sel yang meliputi kolesterol pada dinding pembuluh darah menjejaskan aliran darah ke jantung.

Apabila aliran darah tersumbat, oksigen tidak dapat diangkut ke organ terpenting ini.
“Antara faktor penyumbang kepada penyakit jantung koronari ialah merokok, kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, tekanan perasaan, kegemukan, kurang melakukan senaman dan sejarah keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan.
“Bagi merawat angina pektoris, perlu dirawat dulu penyakit jantung koronari.

Doktor akan mendiagnosis penyakit berkenaan dengan melakukan pemeriksaan fizikal dan mendapatkan maklumat mengenai gejala dirasai pesakit,” katanya.
Doktor akan melakukan beberapa ujian bagi mengesan sama ada sakit dada itu disebabkan penyakit jantung koronari atau bukan.
Ujian yang akan dilakukan seperti Elektrokardiogram (ECG) yang akan mencetuskan setiap denyut jantung dengan getaran elektrik daripada sel khas dalam organ berkenaan.
Ujian tekanan juga dijalankan dengan meminta pesakit berjalan di atas alat senaman ‘treadmill’.

Ketika itu tekanan darah dipantau dan bacaan ECG diambil.

Doktor juga akan menjalankan ujian darah dan tahap kolesterol.
“Angiogram koronari antara ujian tepat bagi mengesan penyakit jantung koronari.

Bagi ujian ini, tiub kateter dimasukkan ke dalam sistem pembuluh darah jantung sama ada di celah pangkal paha atau salur darah pada lengan.

“Kemudian pewarna akan disuntik melalui kateter dan imej pembuluh darah jantung diambil bagi mendapatkan gambaran jelas bahagian tersumbat.

“Selepas angiogram dilakukan, doktor akan berbincang dengan pesakit dan keluarga mengenai pilihan rawatan terbaik berdasarkan keadaan pembuluh darah jantung,” katanya.
Dr Ernest berkata, pesakit boleh memilih sama ada mengambil ubat mencairkan darah seperti aspirin atau mengurangkan paras kolesterol iaitu statin, melakukan pembedahan pintasan pembuluh darah jantung atau angioplasti koronari.
“Kaedah angioplasti sama seperti angiogram apabila tiub kateter dimasukkan melalui saluran darah pangkal paha atau saluran darah di lengan.
“Pada hujung kateter ini, ada belon akan dikembangkan untuk menolak plak yang menyumbat pembuluh darah.

Melalui kateter juga, satu gegelung besi halus dipanggil sten, dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat dan mengekang plak itu daripada menghalang aliran darah.
“Bagaimanapun, pesakit boleh mengalami penyempitan pembuluh darah semula dan bagi menangani masalah ini, sten yang disaluti ubatan boleh larut diperkenalkan.
“Ubatan itu akan melepaskan bahan bagi menghalang proses pembentukan plak serta pembekuan darah,” katanya.

11 comments:

  1. betul tu kak, sakit dada ni memang tak boleh dipandang remeh...

    ReplyDelete
  2. kadang2 tb pon amik leweh bnde cm ni..ingt bnde biase..tp tkot jugak jd luar biasa..

    ReplyDelete
  3. salam. dulu sy selalu ada masalah ni tapi sekarang da jarang da mengamali sakit dada..

    ReplyDelete
  4. betul sakit dada xleh buat main

    ReplyDelete
  5. Kena buat medical check up tiap 6 bulan ni..

    ReplyDelete
  6. takut nyer weyhh
    mintak dijauhkan

    ReplyDelete
  7. Saya selalu sakit dada tapi sebelah kanan. Huhu.

    ReplyDelete
  8. hmm..risau plak..kdg2 pernah sakit dada

    ReplyDelete
  9. kena amalkan gaya hidup sihat

    salam jumaat sis :)

    ReplyDelete
  10. Betul tu. Kena cepat cepat pegi cek kat hsptl. X leh cek kat klinik je.

    ReplyDelete
  11. Nur sekrang ni duk sakit kepala...sakit sebelah..kerap betul sakit ni..huhuh

    ReplyDelete

●▬▬▬▬▬▬▬▬ஜ۩۞۩ஜ▬▬▬▬▬▬▬▬●
• بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ •
terima kasih kerana korang Ikhlas Memberi Komen...Lambat Atau Cepat...Cik Rose Akan terjah blog Korang...
Semoga kita sama - sama ikhlas berkawan di alam maya Bersama mahabbah cintaNYA
●▬▬▬▬▬▬▬▬ஜ۩۞۩ஜ▬▬▬▬▬▬▬▬●
"⎝⓿⏝⓿⎠JAZAKUMULLAH"⎝⓿⏝⓿⎠